
OP BERSEPADU: MPJ KELUAR TIGA NOTIS KESALAHAN
JASIN 15 Oktober – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melaksanakan Operasi Bersepadu bagi memeriksa premis perniagaan sekitar daerah Jasin semalam.
MPJ dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi operasi terbabit, pihaknya telah mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dan satu Notis Kompaun Dikeluarkan (NKDK) terhadap pemilik premis.
Menurut kenyataan, notis tersebut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pemeriksaan Operasi Bersepadu itu bertujuan memastikan semua perniagaan berdaftar serta mematuhi peraturan ditetapkan oleh agensi berkaitan. Tujuan penguatkuasaan ini dilaksanakan adalah bagi menjamin kelangsungan perniagaan yang sah dan selamat.
“Dua notis yang dikeluarkan MPJ menerusi NKDK mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan MPJ UUK 3 atas kesalahan tiada lesen kaki lima dan satu NPK dibawah UUK Iklan MPJ UUK 8 atas kesalahan mendirikan iklan perniagaan tanpa lesen,” katanya.
Menurut kenyataan, operasi bersepadu itu melibatkan sembilan anggota penguatkuasa SSM dan MPJ dengan pemeriksaan dijalankan di premis menjual tayar, bateri kenderaan dan kedai menjual perabot.
“Peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang PBT bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas,” memetik kenyataan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.