Sorting by

×

OPERASI LORONG BELAKANG: MPJ KELUAR 13 NOTIS AMARAN, 1 KOMPAUN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

JASIN 23 Januari – Sebanyak 14 notis amaran dan kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam Operasi Pemeriksaan Taman Perumahan bertujuan membanteras pelbagai kesalahan yang menjejaskan kebersihan, keselamatan dan imej kawasan kediaman.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, operasi melibatkan 10 anggota Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan lorong belakang taman perumahan yang sering dijadikan lokasi pelupusan barangan lusuh dan binaan secara tidak terkawal.

Menurutnya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk meletakkan barangan binaan dan lusuh sehingga menghalang laluan awam, pembinaan struktur tanpa kebenaran, masalah kebersihan persekitaran, kenderaan terbiar serta keadaan rumah yang dipenuhi semak samun.

“Hasil operasi MPJ telah mengeluarkan 14 Notis Amaran dan mengenakan satu kompaun terhadap pemilik yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tindakan tegas ini diambil bagi memastikan kawasan perumahan sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan teratur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zahiruddin menegaskan, MPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

“Tindakan ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Taman, Akta 133 (Jalan, Parit dan Bangunan) serta Akta 171 (Kerajaan Tempatan).

“Kita menggesa semua penduduk agar mematuhi peraturan dan bersama-sama menjaga kebersihan serta keselamatan persekitaran demi kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post PENGALAMAN BERMAKNA SERTAI ZOOMANJI @ ZOO MELAKA
Next post DULU SURI RUMAH, KINI PEMBUAT BATIK