Sorting by

×

OPERASI PEMBENIHAN AWAN TUNJUK HASIL POSITIF, MELAKA PERGIAT USAHA JAMIN BEKALAN AIR

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 12 April – Langkah segera Kerajaan Negeri melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa kawasan menerima hujan, baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, ia sekali gus menzahirkan komitmen dan jaminan bahawa segala usaha sedang dan akan terus dipergiat bagi memastikan bekalan air di Melaka kekal mencukupi, stabil dan terkawal demi kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, OPA telah dilaksanakan pada 9 April 2026 (Khamis) di kawasan Empangan Jus berjaya menghasilkan hujan di beberapa lokasi sasaran.

“Operasi dilakukan pada jam 1 petang itu menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pembenihan dilaksanakan pada jam 1.30 petang setelah keadaan didapati sesuai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azhar, hasil pemantauan menunjukkan Empangan Jus kini berada ditahap waspada namun masih stabil .

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa kesan peningkatan paras air hasil OPA memerlukan sedikit masa untuk direkodkan secara menyeluruh namun ia menunjukkan perkembangan positif.

“Data taburan hujan merekodkan Batu Berendam menerima 28.2 mm hujan manakala Ladang Devon, Alor Gajah sebanyak 14.5 mm dan walaupun taburan hujan tidak sekata operasi ini mencapai objektif awal,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kebajikan rakyat khususnya melibatkan keperluan asas seperti bekalan air sehubungan itu pemantauan rapi akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.

“Selain itu sebarang langkah tambahan termasuk operasi pembenihan awan susulan akan digerakkan tanpa berlengah sekiranya keadaan memerlukan.

“Pada masa sama juga penduduk juga diingatkan untuk turut memainkan peranan dengan menggunakan air secara berhemah serta mengelakkan pembaziran,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post TOK RAOP UMUM KELULUSAN PERMOHONAN TANAH, DEWAN BAHARU DI GADEK
Next post WRUR UBAH BIROKRASI, SELESAIKAN 1,983 ADUAN RAKYAT MELAKA