
ORKESTRA MELAKA DILANCARKAN HUJUNG TAHUN INI
SERI NEGERI 11 Disember – Orkestra Melaka akan dilancarkan hujung tahun ini sebagai tarikan baharu kepada pelancong selaras dengan usaha mempromosi Tahun Melawat Melaka 2.0.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif ini bagi memperkukuh pengalaman pelancongan negeri melalui persembahan muzik dan seni budaya tempatan.
“Orkestra Melaka akan menjadi satu lagi produk pelancongan unik yang mempamerkan bakat tempatan dan tradisi muzik negeri.
“Kita kumpulkan pemuzik-pemuzik dalam Negeri Melaka dan kemudian kita tubuhkan Orkestra Melaka.
“Selepas ini setiap program dianjurkan Kerajaan Negeri kita akan menampilkan persembahan orkestra ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Mengulas mengenai pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0, Abdul Razak berkata pelbagai acara menarik telah disusun termasuk bekerjasama dengan Rejimen Gerak Khas (RGK), Tentera Darat Malaysia.
“Pihak RGK akan anjurkan pameran ketenteraan, pertandingan memancing, komando ‘night run’ dan gimik kehebatan komando pada malam 31 Disember 2025.
“Selain itu, kita akan persembahkan artis-artis ternama seperti Amy Search selain cabutan bertuah sebuah kereta pada malam tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


