Sorting by

×

PADANG AWAM TAMAN SERI CHINCHIN BERWAJAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

JASIN 17 Mei – Projek naik taraf Padang Awam Taman Seri Chinchin kini hampir siap dengan kemajuan fizikal mencecah 87 peratus dan dijangka boleh digunakan penduduk sekitar menjelang pertengahan Jun depan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, menariknya, padang awam itu bakal dihiasi dengan pelbagai tarikan untuk penduduk dan masyarakat sekitar beriadah.

Jelas beliau, elemen seperti arca seni dan alat permainan telah disiapkan 90 peratus secara prapasang dan sedia untuk dipasang di tapak, sekali gus menjimatkan masa dan menjamin kualiti kerja.

“Penduduk sekitar Taman Seri Chinchin bakal menikmati sebuah ruang rekreasi yang serba moden dan mesra komuniti menjelang pertengahan Jun ini.

“Kerja-kerja penaiktarafan sedang berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dan kini berada dalam fasa akhir pelaksanaan.

“Pendekatan pemasangan prapasang bukan sahaja mempercepatkan tempoh pembinaan, malah menjamin mutu dan ketepatan hasil kerja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau memaklumkan, fasa berikutnya akan memfokuskan kepada kerja penanaman rumput, penyempurnaan laluan pejalan kaki dan pembinaan pentas utama sebagai sentuhan akhir.

“Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan dialami penduduk sepanjang pelaksanaan projek ini. Namun, hasilnya nanti pasti akan memberi manfaat besar kepada komuniti.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MPJ untuk menyediakan kemudahan awam yang kondusif, moden dan inklusif kepada warga Jasin.

“Padang ini bukan sekadar ruang riadah, ia bakal menjadi simbol keharmonian masyarakat setempat untuk beriadah, berkumpul dan membina semangat kejiranan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zahiruddin menyeru orang ramai untuk bersama-sama menjaga kemudahan awam apabila ia dibuka kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA RUMAH TRANSIT UNTUK KELUARGA MANGSA KEBAKARAN PPR PAYA RUMPUT
Next post 4 PROGRAM BESAR WARNAI WRUR SUNGAI UDANG