Sorting by

×

PAMERAN MANUSKRIP MELAYU BUKTI KETAJAMAN AKAL INTELEKTUAL SILAM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Manuskrip Melayu bukan sekadar tinggalan sejarah, malah merupakan bukti ketara ketajaman akal, kehalusan seni dan keilmuan masyarakat silam yang wajar terus dipelihara serta dihayati.

Justeru, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan Pameran Manuskrip Melayu: Warisan Intelektual dan Kearifan Silam bagi menyebarluaskan peranan manuskrip sebagai sumber rujukan ilmu berkaitan warisan keintelektualan masyarakat Melayu.

Menurut Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) PERZIM, Nor Azimah Md Ali, pameran ini juga menyerlahkan bukti keberadaan koleksi manuskrip tertentu di institusi berkaitan sebagai panduan penting kepada para pengkaji dan peminat manuskrip Melayu.

“Antara manuskrip yang paling menarik dan jarang ditemui ialah manuskrip berbentuk gulungan dikenali sebagai wafaq atau azimat yang berukuran 243.3 sentimeter panjang dan 8.3 sentimeter lebar.

“Selain itu, terdapat juga manuskrip yang menyentuh pelbagai bidang seperti ilmu fiqh, akidah dan tauhid, tatabahasa, puisi serta beberapa naskhah al-Quran lama dari Acheh dan Terengganu,” katanya kepada Melaka Hari Ini

Katanya lagi, kesemua manuskrip dipamerkan dalam bentuk asal.dan PERZIM dalam perancangan untuk mendigitalkan koleksi itu sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan jangka panjang.

“Manuskrip ini disimpan mengikut kaedah pemeliharaan yang ditetapkan. Selain itu, ia telah didokumentasikan dalam katalog khusus yang memperincikan aspek fizikal dan kandungannya,” katanya.

Mengulas nilai sejarah dan budaya manuskrip Melayu, Nor Azimah berkata koleksi tersebut membuktikan masyarakat Melayu zaman dahulu adalah kelompok pemikir yang menghasilkan penulisan dalam pelbagai bidang ilmu.

“Penulisan dilakukan dengan seni tulisan tangan bertulisan Jawi, penuh dengan gaya bahasa, beriluminasi serta menggunakan peralatan ciptaan sendiri termasuk pembuatan kertas daripada bahan persekitaran.

“Bidang ilmu yang disentuh pula sangat luas, daripada keagamaan, perubatan, sejarah, seni puisi, bahasa dan banyak lagi. Inilah cerminan ketamadunan tinggi orang Melayu sebelum abad ke-20,” katanya.

Pameran khas ini berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2025 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Muzium Sejarah dan Ethnografi, Banda Hilir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post HARBOUR STREET ‘BELANJA’ ANAK YATIM SEMPENA HARI ASYURA
Next post MELAKA LAKAR LEBIH 100 PENCAPAIAN PENTING