
PAMERAN SEJARAH MELAKA WARNAI WTD, WTC 2025 – PERZIM
DUYONG 16 Julai – Pameran khas yang menampilkan dokumen sejarah Panglima Awang dan Kesultanan Melayu Melaka bakal dipamerkan sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 pada September ini.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, pameran itu adalah sebahagian daripada program diamanahkan oleh Kerajaan Negeri kepada PERZIM bagi memeriahkan acara pelancongan bertaraf dunia itu.
“Baru-baru ini kita telah ke Eropah dan berjaya mendapatkan beberapa input penting berkaitan dokumen Panglima Awang serta Kesultanan Melayu Melaka.
“Kerajaan Negeri telah meminta PERZIM untuk mengadakan pameran khas dan menyediakan nota kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara dan Perpustakaan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Santai Warisan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO) dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, di sini, semalam.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Dalam pada itu, Erne memaklumkan, pameran itu akan melibatkan kolaborasi di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi tujuan pemetaan semula dokumen serta manuskrip penting sejarah Melaka yang kini berada di luar negara.
Berhubung lokasi pameran, katanya, cadangan awal adalah untuk diadakan di sebuah hotel di Banda Hilir, namun ia masih tertakluk kepada keputusan akhir daripada Kerajaan Negeri.
“Tempat itu masih belum dimuktamadkan, jadi kita akan tunggu pengesahan lokasi utama daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.