Sorting by

×

PAMERAN WIRA LAUT DUNIA SELAMA 11 HARI SEMPENA WTD, WTC 2025

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 16 September – Orang ramai boleh menyelami pelayaran wira laut dunia, Enrique De Malaca atau Panglima Awang secara percuma menerusi pameran yang akan diadakan selama 11 hari bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Pameran yang dibawakan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu akan diadakan di Encore Melaka, Klebang bermula 20 hingga 30 September ini.

Ahli Lembaga Pengarah PERZIM Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, pelbagai bahan bersejarah berkait pelayaran Panglima Awang akan dipamerkan kepada umum, antaranya catatan, manuskrip, pelan pelayaran serta arca menarik yang telah dikumpulkan hasil kajian dijalankan sebelum ini.

“Jadi, pameran ini merupakan sebahagian daripada peranan PERZIM sempena WTD dan WTC 2025 kerana ini merupakan satu penemuan baharu yang mahu kita persembahkan kepada dunia.

“Menerusi pameran ini, kita mahu orang ramai tahu kewujudan wira Melayu yang telah menguasai lautan dan mengelilingi dunia suatu masa dahulu,” katanya.

548310664 1177467724429066 3220000104991723277 n

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Cuti Sekolah: Saya Anak Malaysia di Muzium Sejarah dan Etnografi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) PERZIM Noor Azimah Md Ali serta lain-lain kenamaan.

Menurut Akramuddin, bersempena acara pelancongan dunia itu juga seluruh warga PERZIM akan memainkan peranan penting dalam usaha menjadikan Melaka sebagai antara tuan rumah terbaik WTD dan WTC 2025.

“Memandangkan ia merupakan satu acara besar dan hari bersejarah untuk Negeri Melaka, saya meminta semua kakitangan PERZIM untuk terlibat dan membantu dalam semua acara yang diadakan.

“Kita juga menyeru kepada rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan dan hadir untuk memeriahkan lagi acara besar ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS MAUT KERETA TERBABAS REMPUH GERAI DI MALIM JAYA
Next post LELAKI MAUT MOTOSIKAL REMPUH BELAKANG KERETA