
PARAKOM TANGANI LEBIH 110 KES KECEMASAN SEPANJANG 2024
AYER KEROH 15 Mei – Sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) menangani sebanyak 110 kes kecemasan kritikal dan ringan dilaporkan sekitar lokasi tumpuan pelancong di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pegawai Operasi dan Penyelaras PARAKOM Melaka, Saiful Nizam Sairi berkata, sejak ditubuhkan pada Mac 2024 inisiatif itu amat amat dialu-alukan dan disenangi kerana memberikan faedah yang besar kepada orang ramai termasuk pelancong.
Katanya, antara kecemasan melibat kes kritikal adalah serangan sawan dan pelancong yang terjatuh hingga menyebabkan patah anggota badan.
“Alhamdulillah, sukarelawan PARAKOM memberikan tindak balas segera selepas dimaklumkan berhubung kejadian melibatkan pelancong berkenaan, hasil rawatan awal diberikan membantu mengurangkan tahap kecederaan dialaminya.
“Setakat April 2025, lebih 300 sukarelawan PARAKOM sudah menghadiri kursus asas Tahap Satu, sementara itu 100 orang melepasi kursus asas Tahap Dua, bakinya masih menunggu untuk dipanggil menghadiri kursus asas yang dilaksanakan pada setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans Dalam Komuniti di Taman Tasek Utama, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Saiful Nizam berkata sukarelawan PARAKOM bukan sahaja ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong, malah melibatkan semua Japerun dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Selain kemahiran dalam memberikan rawatan kecemasan, sukarelawan PARAKOM juga dilengkapi beg kit perubatan yang lengkap. Bagi menjaga kualiti perkhidmatan pula, sukarelawan perlu memaklumkan dan memberikan laporan berhubung setiap kecemasan yang ditangani.
“Kaedah ini dapat membantu kita dalam memastikan teknik rawatan diberikan adalah betul,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.