
PARAS 3 EMPANGAN MELAKA MASIH STABIL, BELUM ADA KEPERLUAN CATU AIR
DURIAN TUNGGAL 9 Februari – Kerajaan Negeri beri jaminan bahawa bekalan air di seluruh negeri ini berada di tahap selamat meskipun cuaca panas dijangka akan berpanjangan sehingga April depan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, paras air di tiga empangan utama negeri iaitu Empangan Durian Tunggal merekodkan paras air 78 peratus; Empangan Jus (73 peratus) dan Empangan Asahan kekal penuh pada paras 100 peratus.
Katanya, paras air di kesemua empangan utama itu masih jauh daripada paras yang memerlukan catuan dan mampu menampung keperluan air domestik industri di negeri ini.
“Bagaimanapun Kerajaan Negeri telah mengaktifkan penggunaan sumber air alternatif bagi memastikan bekalan air ke loji rawatan terus stabil tanpa bergantung sepenuhnya kepada empangan utama bagi mengelakkan perkara tidak diingini atau di luar jangka.
“Antara langkah yang diambil ialah pelepasan air dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka bagi membekalkan air ke loji rawatan air Gadek, air dari Tasik Chinchin akan dilepaskan ke Sungai Kesang bagi menyokong operasi loji air Merlimau dan Chinchin.
“Sungai Melaka turut akan digunakan sebagai sumber sokongan untuk menampung keperluan loji rawatan air di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan paras air di Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Saleh Jusman dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Hameed turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan catuan sebagai langkah akhir sekiranya paras empangan utama di negeri ini menurun sehingga 65 peratus.
“Sekiranya paras air turun sehingga 70 peratus, kita akan laksanakan pengurusan agihan air terlebih dahulu namun berdasarkan paras air semasa dengan unjuran cuaca bekalan air di Melaka dijangka mampu bertahan sehingga Syawal nanti.
“Jadi kita minta orang ramai untuk berjimat cermat dan menggunakan air secara berhemah dan memaklumkan kepada SAMB sekiranya berlaku kebocoran pair di mana-mana lokasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


