Sorting by

×

PARAS EMPANGAN UTAMA MELAKA MEROSOT, RAKYAT DISARAN JIMAT AIR

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 26 Mac – Paras air di semua empangan utama di negeri ini direkodkan merosot sehingga 25 peratus berikutan kekurangan taburan hujan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun begitu bekalan air bersih di negeri ini masih berada pada tahap terkawal dan mencukupi.

“Berdasarkan data, paras air di Empangan Durian Tunggal; Empangan Jus dan Empangan Asahan menunjukkan penurunan sekitar 20 ke 25 peratus, namun keadaan masih lagi terkawal.

“Malah, kerja-kerja pengepaman air ke loji-loji sekitar negeri ini untuk menampung keperluan semasa juga dilaksanakan secara berkala,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Japerun Kuala Linggi, semalam.

Menurut Hameed, ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Melaka menjangkakan negeri ini akan kembali menerima hujan pada awal April nanti.

Meskipun begitu, beliau menasihati orang ramai agar berjimat cermat dan menggunakan air secara berhemah, selain mengelakkan pembaziran.

“Pengguna disaran berjimat cermat dan mengelakkan penggunaan tidak perlu seperti membasuh kenderaan jika tiada keperluan mendesak.

“Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan sekiranya paras air merosot secara mendadak sehingga pengurangan lebih 30 peratus di semua empangan utama di negeri ini untuk langkah seterusnya. Kesiapsiagaan telah dirangka jika paras air menurun dan kritikal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post DAYANG NURFAIZAH, SENARIO BAKAL GAMATKAN RUMAH TERBUKA MELAKA SAYANG RAKYAT
Next post BAS, VAN PERANTARA MUDAHKAN PENGUNJUNG KE RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT