Sorting by

×

PASAR WILAYAH KOTA LAKSAMANA LEBIH SELESA, MODEN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 November – Pasar Wilayah Kota Laksamana kini bukan sahaja berwajah baharu, malah turut menampilkan persekitaran lebih moden dan selesa selepas kerja naik tarafnya selesai dijalankan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Keadaan dalam pasar termasuk gerai jualan yang lebih teratur dan tersusun juga turut memudahkan pelanggan untuk membeli pelbagai barangan dapur di pasar tersebut.

Suasana pasar baharu yang lebih selesa itu bukan sahaja menggembirakan peniaga tetapi memberi keselesaan kepada pelanggan, khususnya penduduk setempat.

Penduduk Wee Hui Kip, 60, berkata, selepas kerja naik taraf pasar itu selesai sepenuhnya terdapat banyak penambahbaikan dilakukan, antaranya berkonsepkan mesra pengunjung.

“Memang banyak perbezaan berbanding keadaan pasar sebelum dinaik taraf apabila kini lebih teratur, selain pengudaraan juga amat baik.

“Pasar ini boleh dikatakan agak lama, mungkin sudah 20 tahun jadi wajar untuk dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada semua yang datang membeli pelbagai barangan dapur di sini.

“Apa yang lebih penting, kebersihan perlu dikekalkan kerana persekitaran yang bersih membuatkan suasana pasar lebih ceria,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6118641080703061008
KEMUDAHAN lebih kondusif di Pasar Wilayah Kota Laksamana. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, peniaga Gan Lay Choo, 40 berkata, kerja naik taraf yang dijalankan bukan sahaja membabitkan premis, tetapi juga kemudahan awam seperti tandas.

“Sudah pasti sebagai peniaga di sini saya amat gembira kerana pasar sudah baharu malah tiada lagi masalah bumbung bocor dan ia lebih selesa.

“Tempat jualan juga sudah dilengkapi dengan loker berkunci selain di dalam pasar turut dipasang kipas. Boleh katakan pasar sekarang ada perubahan berbanding sebelum ini.

“Pembinaan tempat pembuangan sampah tertutup di hadapan pasar secara tidak langsung juga membantu dalam aspek penjagaan kebersihan,” katanya yang merupakan generasi ketiga meneruskan perniagaan ayam segar di pasar berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post MAIM BAIK PULIH DUA SURAU DI DUN KESIDANG
Next post MELAKA ANJUR FESTIVAL CHENG HO 2026