
PASARAN PERUMAHAN MELAKA KEKAL POSITIF, STABIL – LPM
BANDA HILIR 23 November – Perkembangan pasaran perumahan Melaka kekal positif meskipun negeri ini merekodkan 1,621 unit kediaman siap dibina belum terjual.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata, jumlah unit tidak terjual itu dianggarkan bernilai RM724.28 juta.
Namun begitu, menurut beliau, angka tersebut masih berada pada paras terkawal jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
“Menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sehingga suku 2025, Melaka kekal sebagai negeri dengan harga rumah terendah di Malaysia.
“Daripada segi unit tidak terjual, angka ini jauh lebih rendah berbanding negeri lain, sekali gus menggambarkan pasaran perumahan Melaka lebih mampan, kukuh dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Ekspo Rumah Mampu Milik (RMM) 2025 di sebuah pusat beli-belah, di sini, pada Jumaat.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Murad berkata perkembangan pasaran perumahan Melaka dijangka terus positif memandangkan negeri ini semakin menjadi pilihan pembeli dari luar.
“Melaka bukan sahaja menjadi pilihan kerana kedudukan strategik, tetapi harga rumah yang masih mampu milik turut menarik minat pembeli dari Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.
“Namun pembelian rumah dalam kategori RMM tetap tertakluk kepada syarat tertentu bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana tidak terpinggir daripada memiliki kediaman sendiri,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

