
‘PAY NOW CRUISE LATER’ TAWAR PENJIMATAN SEHINGGA 30 PERATUS
BANDARAYA MELAKA 3 Mac – Diskaun sehingga 30 peratus ditawarkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bagi pembelian tiket menerusi tawaran ‘Pay Now Cruise Later’ sepanjang bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, tawaran sempena Ramadan itu dibuat bagi membolehkan pelanggan membuat pembelian tiket lebih awal bermula 1 hingga 31 Mac.
“Menerusi tawaran ini diskaun 30 peratus diberikan bagi tiket Melaka River Cruise dan potongan 20 peratus pula ditawarkan untuk Eco Cruise Tasik Chinchin.
“Penebusan tiket pula boleh dibuat bermula 1 Mei hingga 31 Disember 2026 dan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merancang percutian dengan lebih teratur serta menikmati penjimatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, tawaran diskaun untuk Melaka River Cruise dan Eco Cruise Tasik Chinchin itu hanya sah bagi tiket yang dibeli menerusi tempahan sahaja.
“Inisiatif dibuat ini dilihat antara langkah untuk merancakkan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Ia juga untuk menggalakkan orang ramai menikmati pengalaman pelayaran ikonik di negeri ini dengan harga lebih berpatutan serta menjimatkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


