Sorting by

×

PEKERJA KILANG CEDERA DILIBAS OBJEK TAJAM OLEH LELAKI TIDAK DIKENALI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Oktober – Seorang remaja perempuan yang juga pekerja di sebuah kilang di Tangga Batu cedera di pinggang selepas dipercayai dilibas objek tajam oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan berhampiran Tangga Batu Seksyen, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun sedang membonceng motosikal bersama kakak iparnya dikatakan tiba-tiba sakit di bahagian belakang sebelum menemui kesan luka pada belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama kakak iparnya yang bekerja di kilang yang sama sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9, Tangga Batu.

Katanya, sebaik berasa sakit di bahagian belakang, mangsa meminta kakak iparnya memberhentikan motosikal di tepi jalan sebelum mendapati terdapat koyakan pada belakang bajunya dan kesan luka oleh libasan objek tajam.

“Ketika berhenti, kakak iparnya melihat sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 berwarna biru gelap yang ditunggang lelaki tidak dikenali, juga memakai jaket warna gelap serta topi keledar biru memecut laju selepas kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibantu oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor memaklumkan mangsa dalam keadaan stabil dan luka yang dialami mangsa adalah sepanjang 7 sentimeter dan 3 sentimeter (cm) lebar pada belakang pinggang. Kedalaman luka belum dapat dipastikan atas faktor banyak darah keluar dari pinggang mangsa,” katanya.

Menurut Christopher, hasil soal siasat bersama mangsa dan kakak iparnya mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai perselisihan faham dengan mana-mana individu, selain tidak mempunyai kenalan di Melaka memandangkan dia baru tiga minggu tiba ke negeri ini untuk bekerja di kilang berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post ‘PERPADUAN JADI TUNJANG SAMBUTAN DEEPAVALI DI MELAKA’
Next post USAHAWAN MELAKA HALAL HUB TAMPIL PRODUK BERINOVASI DI MIHF’25