
PELABUHAN DARAT KATALIS EKONOMI BAHARU MELAKA
SERI NEGERI 21 Julai – Melaka Inland Port (MIP) atau Pelabuhan Darat Melaka bakal menjadi katalis kepada ekonomi baharu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau memaklumkan, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 52.89 hektar di mukim Taboh Naning itu berperanan dalam menyediakan industri sokongan kepada pelabur-pelabur dalam urusan logistik menerusi jajaran rel.
Tambah beliau, ia juga membantu pengilang-pengilang utama di negeri ini, umpamanya, Xinyi Glass, Honda, Nestle yang boleh menggunakan kemudahan ini sebagai medium baharu penghantaran dan pengeksportan.
“Maksudnya semua pengilang atau pemain industri di Melaka dan negeri sempadan boleh menggunakan kaedah ini kerana urusan penghantaran barangan boleh dibuat dengan menggunakan sokongan MIP ke pelabuhan-pelabuhan seperti Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas.
“Jadi, MIP ini akan menjadikan semuanya lebih mudah, cepat dan bebas daripada ancaman alam sekitar memandangkan ia menggunakan kereta api teknologi elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hari pertama Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.
Tambah Ketua Menteri, Pelabuhan Darat Melaka juga dapat memperkukuh kerjasama logistik rentas sempadan dengan Singapura dan Indonesia melalui Pelabuhan Dumai dan Batam, serta Wilayah Ekonomi Johor Selatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.