Sorting by

×

PELABUHAN DARAT MELAKA, HAB LOGISTIK SELAMAT DAN MAMPAN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 21 Julai – Pembangunan Pelabuhan Darat Melaka atau Melaka Inland Port (MIP) di atas tanah seluas 52.89 hektar milik Perbadanan Melaka (MCORP) di mukim Taboh Naning bakal menjadi sebuah hab logistik yang selamat dan mampan, selain tidak mengendalikan sebarang produk atau bahan berbahaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MIP dibangunkan bertujuan menyediakan industri sokongan kepada pelabur-pelabur dalam penghantaran atau penerimaan barangan menerusi jajaran landasan rel khususnya untuk Negeri Melaka dan negeri-negeri bersempadan seperti Johor dan Negeri Sembilan.

Jelas beliau, pelabuhan darat itu juga hanya tertumpu kepada barangan kontena, kargo berpalet dan barangan komersial selaras dengan pematuhan penuh terhadap peraturan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan.

“Terminal ini dibangunkan dengan pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menyeluruh, meliputi teknologi hijau, sambungan rel rendah karbon, pemerkasaan komuniti setempat dan tadbir urus yang telus dan selari dengan agenda pembangunan mampan Negeri Melaka dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Ini sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembangunan yang bertanggungjawab dengan mengambil kira kesejahteraan komuniti setempat dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, pembangunan MIP itu bakal melibatkan kos kos pembangunan kasar (GDC) sebanyak RM230.8 juta bagi Fasa 1 selepas MCORP menandatangani perjanjian bersama Syarikat DS Rail Mobility Sdn. Bhd pada 13 Jun 2025 yang lalu.

Ujar beliau, projek tersebut juga merupakan sebahagian perancangan pembangunan bagi kawasan perindustrian MCORP Hi-Tech Park meliputi kawasan seluas 5,000 ekar dan perancangan projek tersebut telah bermulan sejak November tahun lalu.

“Kini pihak syarikat sedang menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk tujuan kelulusan Kebenaran Merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan serta Penyediaan Kajian Impak, Melaka Inland Port.

“Pembangunan Fasa 1 dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026. Antara komponen pembangunan projek adalah spur line to KTMB main Line, Gudang tertutup, container yard, depot services, pusat pemeriksaan Kastam dan bangunan pejabat operasi,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post SIDANG DUN MELAKA BERMULA HARI INI
Next post NAIK TARAF BULATAN TOL SIMPANG AMPAT-LEBUH AMJ DIJANGKA BERMULA HUJUNG TAHUN INI