Sorting by

×

‘PELABUHAN DARAT MELAKA’ PELENGKAP KEMUDAHAN YAKINKAN PELABUR

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 14 Jun – Pembangunan Melaka Inland Port atau Pelabuhan Darat Melaka (MIP) bakal menjadi pelengkap kemudahan bagi memberi keyakinan buat para pelabur untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan lokasi MIP di Pulau Sebang (Mukim Taboh Naning, Alor Gajah) sebagai strategik berdasarkan kedudukannya terletak di pertengahan antara Pelabuhan Klang (Selangor), Pelabuhan Tanjung Pelepas (Johor) dan Pelabuhan Singapura.

“Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan syarikat DS Rail Mobility Sdn Bhd untuk menjadikan Pulau Sebang sebagai hab ‘Inland port’ (pelabuhan darat) di kawasan selatan ini.

“Kedudukannya yang berada di tengah-tengah Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Singapura dapat membantu serta menyokong perindustrian Melaka, maka MIP akan menjadi ‘catalyst’ (pemangkin) kepada ‘new economy’ (ekonomi baharu).

“Saya mengharapkan dengan wujudnya Inland Port ini akan menjadi satu lagi kemudahan bagi meyakinkan pelabur bahawa Melaka telah melengkapkan segala kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan DS Rail Mobility Sdn Bhd Bagi Pembangunan MIP di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta wakil agensi dan jabatan.

Jelas Ab Rauf, MIP akan menjadi pemangkin kepada pelaburan langsung asing (FDI) berdasarkan keupayaannya memenuhi kehendak pelabur yang mengutamakan faktor kemudahan bagi memudahkan operasi mereka.

“MIP akan menjadi pemangkin kepada FDI kerana kemudahan ini akan memudah cara mana-mana juga pelabur hendak masuk ke mana-mana negeri.

“Memandangkan Melaka adalah sebuah negeri ‘quite moderate’ (sederhana) dalam soal pengurusan perindustrian ini, kita (Kerajaan Negeri) juga menjadi unit ‘fast track’ (laluan cepat) bagi membantu para pelabur masuk ke Melaka,” ujarnya.

MIP akan dibangunkan di atas tanah seluas 52.892 hektar di Mukim Taboh Naning, Alor Gajah, dengan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM230.8 juta.

Projek ini merupakan sebahagian daripada MCORP Hi-Tech Park, sebuah pembangunan berskala besar yang meliputi kawasan seluas 2023.428 hektar.

Ia terletak secara strategik berhampiran Stesen Keretapi Pulau Sebang, yang bakal menjadi hab utama pengangkutan rel di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

788
Kongsi :
Previous post MELAKA INLAND PORT BAKAL JADI HAB UTAMA PENGANGKUTAN REL
Next post USAHA PROAKTIF MELAKA TARIK MINAT BELIA PILIH TVET