Sorting by

×

PELABUR AKUI MELAKA DESTINASI TEPAT KEMBANG PERNIAGAAN – KM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 3 Disember – Walaupun negerinya kecil, namun Melaka diakui pelabur sebagai destinasi tepat untuk mengembangkan perniagaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dinyatakan sendiri pelabur yang bertapak di Melaka sehingga ada di antaranya telah bertahan melebihi 30 tahun di negeri ini dan terus berkembang maju.

Menurut beliau, semua itu dibantu oleh dasar mesra pelabur yang diperkenalkan Kerajaan Negeri, di mana ia bukan sahaja memberi sokongan, bahkan membantu melicinkan urusan perniagaan mereka di negeri ini.

“Ia satu kebanggaan untuk Melaka apabila ada syarikat ini telah bertapak lebih 30 tahun dan ada juga sehingga 52 tahun di Melaka kini terus berkembang.

“Rata-rata pemain industri ini menyokong penuh dasar Kerajaan Negeri dan menyatakan bahawa Melaka adalah pilihan tepat untuk mereka mengembangkan perniagaan.

“Daripada kilang pemasangan kereta, pembekal mikrocip hinggalah ke industri aeroangkasa telah bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap perkembangan industri di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Chief Minister Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mengulas mengenai CMIEA, Ab Rauf berkata, anugerah itu dikembalikan semula selepas 10 tahun bagi mengiktiraf dan menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak industri dalam merancakkan ekonomi, selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Jelas beliau, pada tahun ini, sebanyak 12 syarikat telah mengambil bahagian, di mana ia bukan sahaja mewakili kecemerlangan, bahkan kepelbagaian ekosistem perindustrian yang ada di Melaka.

Anugerah itu menyaksikan Medivest Sdn Bhd dan CSC Steel Sdn Bhd masing-masing dianugerahkan sebagai Syarikat Tempatan Terbaik dan Syarikat Multinasional terbaik CMIEA 2025.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan kedua-dua syarikat membawa pulang trofi eksklusif dan hadiah kemenangan bernilai RM10,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

301
Kongsi :
Previous post MELAKA BANTU 72 SYARIKAT BERKEMBANG MENERUSI ‘MIB’