Sorting by

×

PELABURAN BAHARU MFS TECHNOLOGY BAKAL WUJUDKAN 500 PELUANG PEKERJAAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PENGKALAN BATU 30 Oktober – Sebanyak 500 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan hasil tambahan pelaburan daripada syarikat pengeluar produk elektronik antarabangsa MFS Technology (M) Sdn Bhd di negeri ini.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, ketika ini syarikat beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Fasa III, Batu Berendam, menggaji seramai 1,050 orang pekerja.

“Kerajaan Negeri amat menyokong usaha MFS Technology menambah keluasan kilangnya bagi mengukuhkan operasi dan memenuni permintaan global. Perkembangan ini juga adalah satu petanda baik dan amat positif buat Melaka.

“Secara tidak langsung ia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan dasar mesra pelaburan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Syarikat MFS Technology (M) Sdn. Bhd. yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFS Technology, Datuk Tan Bian Ee, di Zon Perindustrian Bebas Fasa III, Batu Berendam, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengarah MFS Technology Datuk Faridah Md Noordin dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka, H Jaibalan.

Menurutnya, pelaburan berkenaan juga menunjukkan keyakinan MFS Technology terhadap potensi ekonomi Melaka.

“Justeru dengan peluasan kilang ini ia bakal membawa kesan positif serta menyumbang kepada daya saing termasuk kemakmuran ekonomi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post 10 SEKOLAH AGAMA MELAKA TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER
Next post ‘JANGAN TUNGGU SAKIT BARU JUMPA DOKTOR’