Sorting by

×

PELABURAN UNIMEL DALAM BIDANG SAINS KESIHATAN LAHIRKAN JURURAWAT BERKUALITI, KOMPETEN

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 1 Disember – Pelaburan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dalam memenuhi keperluan pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran selesa, moden, mempersiapkan latihan klinikal dan ruang makmal membantu melahirkan graduan Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan yang kompeten.

Perkara itu diakui Nazirul Azim Nazri, 28, penerima Anugerah Hadiah Pingat Emas pada Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-27 di Pusat Dagangan Dunia Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Graduan Kejururawatan ini berkata pelaburan itu amat berbaloi kerana mencerminkan kesungguhan dan kemampuan UNIMEL melahirkan tenaga mahir dalam bidang kesihatan yang berkualiti sesuai dengan kehendak semasa.

“Segala kemudahan disediakan membolehkan peserta kursus belajar dalam suasana lebih realistik dan ini menjadi satu pengalaman amat berguna apabila memasuki alam pekerjaan nanti.

“Saya bangga dengan pencapaian UNIMEL yang semakin positif, jika diberikan kesempatan saya mahu kembali berbakti di universiti ini,” katanya yang ditemui ibu Nik Rahimah Nik Hussin dan bapanya Nazri Zakaria, 54, pada istiadat konvokesyen berkenaan.

6156427228015692573
DEKAN Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan UNIMEL Norziah Sarudin. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejururawatan dan Sains Kesihatan UNIMEL, Norziah Sarudin berkata suasana pembelajaran di universiti tersebut kini jauh lebih kondusif hasil pelbagai penambahbaikan infrastruktur serta fasiliti.

Tambahnya, hasil wakaf daripada Syarikat Gedung Penawar UNIMEL kini memiliki ‘mock dialysis centre’ memberi manfaat kepada ratusan pelajar setiap tahun, khususnya bagi latihan pengendalian pesakit buah pinggang.

“Sumbangan ini adalah untuk anak bangsa, kita mahu melihat lebih ramai jururawat dan petugas kesihatan mendapat latihan berkualiti tinggi, sekali gus membolehkan UNIMEL membuka ruang untuk pembelajaran ‘post-basic’,” katanya.

6156427228015692575
PENGERUSI Syarikat Gedung Penawar Dr. Mohd Padzil Daros bersama sijil penghargaan yang diterimanya selepas Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-27 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Manakala Pengerusi Syarikat Gedung Penawar, Dr. Mohd Padzil Daros memaklumkan sumbangan wakaf mock dialysis centre bernilai RM250,000 bertujuan membantu pembangunan insan dan menganggapnya sebagai fardu kifayah.

“Semua ini bertujuan menjadikan UNIMEL sebagai institut yang melahirkan pelajar berkualiti dan diharapkan sumbangan daripada kami dapat dikembalikan kepada masyarakat selepas pelajar tamat pengajian dengan berkhidmat dalam bidang kesihatan negara.

“Ini kerana kemudahan pusat dialisis yang dibina bagi tujuan pembelajaran dapat menjadi pusat pembelajaran simulasi kejururawatan terbaik di selatan tanah air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post KEDAI ELEKTRIK PERTAMA PERKASA PRODUK BUATAN MALAYSIA