Sorting by

×

PELAJAR IKTBN ALOR GAJAH JUAL ROTI AIR TANGAN SENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah,0 tidak melepaskan peluang menyerlahkan bakat mereka melalui jualan aneka roti dan pastri sempena Sambutan Hari TVET Negara 2025.

Bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, menghimpunkan pelbagai institusi kemahiran dan pelatih seluruh negara.

Tenaga pengajar Jurusan Penyediaan Roti IKTBN Alor Gajah, Zarinah Pardi berkata, empat pelajar semester dua dibawa menyertai acara itu bagi mempamerkan hasil kerja tangan mereka kepada pengunjung.

“Menu seperti ‘croissant’, ‘garlic bun’, roti pelbagai variasi dan lasagna mendapat sambutan hangat. Ia bukan sekadar jualan, tetapi satu bentuk pembelajaran sebenar luar bilik kuliah.

“Mereka belajar bukan hanya menghasilkan produk, tetapi juga berhadapan dengan pelanggan dan memahami kehendak pasaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Zarinah, kesemua produk disediakan dan dibakar sepenuhnya di IKTBN Alor Gajah, sebelum dibawa ke lokasi penganjuran program untuk dijual.

“Ia memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar bermula daripada penyediaan hingga pemasaran. Secara tidak langsung, ia membina keyakinan dan semangat keusahawanan dalam diri mereka,” katanya.

Sambutan Hari TVET Negara 2025 bukan sekadar pameran kemahiran, tetapi juga medan untuk generasi muda membina jati diri serta meneroka potensi kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional.

Acara yang berlangsung bermula hari ini sehingga 13 Jun ini turut melibatkan penyertaan agensi-agensi daripada 12 kementerian, mencerminkan komitmen bersama dalam merealisasikan agenda transformasi TVET negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post DADAH BERNILAI LEBIH RM4 JUTA DITEMUKAN DALAM KERETA DI GERIK
Next post BIDANG AEROANGKASA TARIKAN ANAK MUDA KE HARI TVET NEGARA 2025