
PELAJAR KERAP PONTENG SEKOLAH AKAN DITARIK KEISTIMEWAAN
AYER KEROH 13 Disember – Murid dan pelajar yang kerap ponteng sekolah berdepan risiko hilang keistimewaan serta kelayakan menerima bantuan pendidikan sebagai langkah tegas membendung gejala berkenaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu merupakan antara resolusi yang akan diangkat Kerajaan Negeri menerusi Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.
Menurut beliau, gejala ponteng sekolah ketika ini dianggarkan melibatkan 10 hingga 15 peratus murid dan pelajar, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih berkesan.
“Murid atau pelajar yang ponteng sekolah melebihi tempoh ditetapkan berkemungkinan ditarik kelayakan bantuan seperti bantuan permulaan persekolahan, biasiswa dan derma siswa.
“Langkah ini bertujuan memberi kesedaran secara langsung kepada pelajar dan pada masa sama meningkatkan keprihatinan ibu bapa agar memastikan kehadiran anak-anak ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Terdahulu, Rahmad berkata konvensyen berkenaan melibatkan 34 agensi, jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan permasalahan di sekolah.
“Terdapat 10 kluster diketengahkan dan kita telah menghasilkan 162 dapatan, 55 isu serta mengangkat 10 resolusi kepada kementerian untuk diberi perhatian dan tindakan lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


