Sorting by

×

PELAJAR MALAYSIA DIMINTA TANGGUH PERJALANAN KE TIMUR TENGAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac – Pelajar Malaysia yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah dinasihatkan untuk menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu sehingga keadaan di rantau itu kembali stabil.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata, justeru itu pelajar yang terlibat diminta untuk sentiasa berhubung dengan pihak universiti bagi memaklumkan perkembangan semasa.

“Untuk yang bakal ke sana pada waktu ini kita rasa ia kurang selamat bahkan untuk menunaikan umrah juga ramai yang terpaksa menangguhkan dulu perjalanan.

“Bagi pelajar-pelajar yang bakal ke sana misalnya mereka yang baru menerima tawaran atau kembali selepas cuti situasinya belum begitu kondusif dan dinasihatkan untuk sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing.

“Malah pelajar-pelajar ini juga boleh berhubung dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kemaskini situasi mereka termasuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Perdana Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Media Melaka dan hadir sama Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan menerusi KPT memantau rapat perkembangan semasa begitu juga keadaan pelajar yang berada di sana.

“Daripada kemaskini terbaru yang diperoleh seramai 1,936 pelajar Malaysia berada di Timur Tengah dengan Jordan mempunyai bilangan teramai iaitu 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

“Pelajar-pelajar yang berada di negara-negara ini kita telah kenal pasti dan dihubungi menerusi wakil termasuk diberi nasihat serta tatacara apa yang perlu mereka sekiranya diminta untuk keluar,” katanya.

Jelasnya, Malaysia sentiasa bersedia dalam situasi ini malah amaran juga sudah diberi lebih awal agar perjalanan ke negara-negara Timur Tengah ditangguhkan.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 30 anak pengamal media Melaka menerima sumbangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah keseluruhan RM15,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS KEMPEN INTERNET SELAMAT, SASAR 200 PROGRAM KOMUNITI