
PELAJAR PEROLEH A+ SUBJEK SEJARAH, CEMERLANG SPM DIRAIKAN
LENDU 30 Mei – Kerajaan Negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), memperuntukkan sebanyak RM54,000 bagi menjayakan Inisiatif Bijak Sejarah dan Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 122 pelajar sekitar Parlimen Masjid Tanah dan Tangga Batu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan dan meraikan kejayaan 68 pelajar mencapai keputusan semua A dan 100 lagi yang memperoleh keputusan A+ bagi subjek sejarah pada SPM 2024 yang lalu.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan pendidikan sebagai agenda utama dalam proses transformasi selari dengan hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan tersohor di negara ini.
“Sesungguhnya, majlis ini adalah manifestasi keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri Melaka kepada para pelajar yang telah berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan yang cemerlang dan membanggakan.
“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua yang telah mengharumkan nama ibu bapa selain mengangkat martabat negeri ini ke mercu kecemerlangan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka Dan Program Town Hall Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Adun Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama Timbalannya, Datuk Rosli Abdullah serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,Mahfudzah Mohamed Noor.
Sementara itu Ketua Menteri berkata, Program WRUR bukan sekadar satu inisiatif biasa, tetapi satu komitmen kerajaan negeri untuk menyantuni keperluan dan denyut nadi rakyat segenap lapisan masyarakat termasuk pelajar serta mahasiswa yang menjadi nadi masa depan negeri.
“Atas dasar itu, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan aspirasi dan kebajikan pelajar serta belia, sama ada daripada aspek pendidikan, kemahiran, peluang latihan industri atau ruang menyuarakan pandangan.
“Setiap program dilaksanakan adalah cerminan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membina pelapis pemimpin masa hadapan yang lebih gemilang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.