
PELAN DISIPLIN ANAK MELAKA AKAN DIWUJUDKAN – KM
AYER KEROH 13 Disember – Kerajaan Negeri bercadang membangunkan dasar dan pekeliling baharu pendidikan yang lebih komprehensif di bawah Pelan Disiplin Pelajar Atau Anak Melaka (PDAM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelan itu wajar dibangunkan berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan pelbagai gejala atau masalah sosial berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
Jelas beliau, PDAM akan berfungsi sebagai dokumen strategik negeri dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyatukan inisiatif membentuk sahsiah dan disiplin pelajar dalam satu kerangka pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.
“Ini merupakan antara lima rumusan penting yang digariskan menerusi penganjuran sulung Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka, sekali gus menzahirkan komitmen Melaka sebagai negeri rintis dalam pelaksanaan transformasi pendidikan.
“Kita mahu sekolah menjadi tempat selamat, bukan medan tekanan bagi pelajar tetapi ruang untuk membentuk masa depan anak-anak Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, selain PDAM, Kerajaan negeri turut bercadang menubuhkan Majlis Perundingan Pendidikan di peringkat daerah dan negeri dengan penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Jelas beliau, menerusi penubuhan majlis itu, Kementerian Pendidikan dicadang untuk memberikan peruntukan khusus bagi memastikan wujudnya aliran maklum balas dua hala secara ‘bottom–up’ daripada akar umbi pendidikan dan komuniti.
“Usaha ini penting agar Kementerian Pendidikan tidak bergerak secara bersendirian, sebaliknya didukung oleh kerjasama strategik semua pihak dalam memastikan kemenjadian pelajar dapat dicapai secara menyeluruh dan inklusif,” ujarnya.
Pada masa sama, Ab Rauf turut menyambut baik cadangan pelaksanaan model sekatan media sosial bawah 17 tahun seperti dibawa Kementerian Komunikasi dan berharap akaun media sosial pelajar bawah umur akan dikawal dengan pengesahan atau verifikasi ibu bapa, sekatan penggunaan selepas waktu tertentu serta mod pembelajaran khas semasa waktu persekolahan.
“Dalam melaksanakan semua inisiatif ini, pendekatan kita tidak terhenti pada aplikasi atau sekatan semata-mata. Fokus utama ialah pendidikan dan pembudayaan nilai digital yang seimbang.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga mencadangkan agar kebenaran rasmi daripada ibu bapa diberikan kepada pihak sekolah bagi melaksanakan hukuman rotan secara terkawal dan berhemah selepas beberapa siri tindakan peringatan dilaksanakan, di mana, pendekatan ini bukan bersifat menghukum, sebaliknya untuk memastikan anak-anak dibentuk dengan nilai hormat, disiplin dan jati diri yang kukuh,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


