
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OKU, BUKTI KOMITMEN POLYCC
MERLIMAU 27 Januari – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) komited memperkasa pelajar orang kurang upaya (OKU) melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan OKU, sekali gus membolehkan golongan itu mengikuti pengajian dalam suasana lebih inklusif.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pelaksanaan langkah strategik itu adalah bagi menyokong dasar pendidikan negara yang menekankan elemen keterangkuman dan inklusiviti.
“Seperti mana dasar pendidikan negara yang menekankan keterangkuman dan inklusifviti untuk OKU maka POLYCC tidak terkecuali, justeru antara langkah utama yang dibuat adalah menyediakan satu dasar atau garis panduan.
“Pelan Pembangunan Pendidikan OKU dilancarkan ini adalah satu kerangka bagaimana boleh membantu pelajar-pelajar khususnya OKU di POLYCC terutamanya daripada sudut penyediaan kurikulum, pembangunan program baharu dan sedia ada.
“Ia termasuk juga penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong keperluan pelajar OKU sekaligus ini akan menjadi kerangka yang akan membantu mengupayakan pelajar OKU di politeknik termasuk kolej komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Merlimau, semalam.
Menurut Dr. Shamsuri, berdasarkan rekod setiap sesi pengambilan pelajar baharu di POLYCC terdapat antara 300 hingga 400 ambilan pelajar OKU terdiri daripada tujuh kategori golongan tersebut.
“Menerusi pelan yang dilancarkan itu POLYCC juga akan melihat penawaran program yang lebih luas termasuk kepada pelajar OKU kategori penglihatan.
“Pada masa ini terdapat lima politeknik yang menawarkan Program Pendidikan Eksklusif Pelajar Orang Kurang Upaya (PPEP OKU) iaitu di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).
“Antara kursus yang ditawarkan adalah Sijil Khas Operasi Katering, Sijil Khas Sijil Khas Penyelenggaraan Mekanikal, Sijil Khas Reka Bentuk Grafik serta Sijil Khas Reka Bentuk Fesyen,” katanya .
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


