Sorting by

×

PELANCARAN VISIT MELAKA 2.0 LEBIH MERIAH, MENARIK – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 28 September – Kempen Visit Melaka 2.0 bakal dilancarkan hujung tahun ini dengan pengisian program yang lebih menarik dan berimpak tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelancaran itu sekali gus memberi pengalaman pelancongan lebih meriah bagi menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini sepanjang 2026.

“Kempen ini dijadual dilancarkan pada 31 Disember sebagai permulaan kepada fasa ketiga kempen pelancongan negeri yang disusun secara lebih strategik.

“Pelbagai pengisian sudah diatur bagi memastikan Visit Melaka 2.0 kali ini tampil lebih menarik dan ‘vibrant’ (bertenaga), selain memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pengunjung.

“Sambutan kali ini pasti lebih meriah dan hebat berbanding tahun sebelumnya. Rakyat dan pelancong hanya perlu menantikan hari pelancaran rasmi untuk melihat sendiri apa yang telah kami sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; serta Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan MOTAC, Chua Choon Hwa.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini Ab Rauf berkata, lebih 800 produk pelancongan akan ditawarkan bagi menyokong kempen tersebut, sekali gus memastikan pelancong mempunyai pelbagai pilihan aktiviti dan tarikan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Antara produk ditawarkan termasuk program Melaka Bila Larut Malam, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik dengan harga serendah RM10, permainan tradisional seperti dam aji dan konda-kondi, Melaka Eco Cruise, Zon Bebas Kenderaan, serta inisiatif PARAKOM yang melibatkan 1,400 sukarelawan terlatih sebagai barisan hadapan membantu pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post WTD 2025: 133 USAHAWAN MELAKA DAPAT PELUANG TEMBUSI PASARAN BESAR
Next post SEMANGAT PERPADUAN BUKTI MALAYSIA MAMPU ANJUR PROGRAM BERTARAF DUNIA