
PELANCONGAN MELAKA JADI PERHATIAN DI DUBAI
AYER KEROH 2 Mei – Sektor pelancongan Melaka terus mendapat perhatian dunia apabila dipromosikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kempen promosi itu diketuai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersempena Arabian Travel Market (ATM) Dubai 2025.
Abdul Razak berkata, kehadiran delegasi pelancongan Melaka itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa dan mempromosi Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang akan berlangsung September depan.
Tambah beliau, penyertaan Melaka di ATM Dubai 2025 tahun ini turut membawa misi penting dalam mempromosikan negeri bersejarah ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, lebih-lebih lagi Tahun Melawat Melaka (TMM) dilanjutkan sehingga 2026 selari dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
“Melaka turut mengambil peluang untuk memperkenalkan WTD 2025, acara bertaraf dunia yang akan berlangsung di Melaka pada September depan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab pelancongan budaya dan warisan antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, Abdul Razak turut hadir menyaksikan perasmian Pavilion Malaysia di ATM Dubai 2025 yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Mohd Fadhly Amri Aliaman.
Pavilion Malaysia di ATM Dubai 2025 menampilkan pelbagai agensi pelancongan negeri-negeri, hotel, dan pengusaha industri dari Malaysia yang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada para pelawat antarabangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.