
PELANCONGAN MELAKA TAWAN DUNIA
BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Melaka kini menjadi tumpuan dunia apabila negeri ini dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa seperti World Tourism Day 2025 yang juga satu bentuk pengiktirafan yang amat membanggakan.
Bangga dengan pencapaian itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apa yang dicapai adalah hasil usaha keras Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Melaka ke serata dunia.
“Sekarang kita berjaya memperkukuh Melaka sebagai destinasi pelancongan utama, alhamdulillah ini antara yang dicapai semasa pentadbiran saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiar langsung di MelakaFM menerusi segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ Sempena 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, tahun 2024 menyaksikan satu lagi pencapaian luar biasa apabila Melaka berjaya merekodkan kehadiran lebih 15 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024.
“Pencapaian itu disifatkan sebagai detik bersejarah yang amat hebat dalam sektor pelancongan negeri dan memberi impak besar kepada ekonomi negeri.
“Malah pencapaian ini turut mencerminkan ‘ledakan’ luar biasa dalam industri pelancongan Melaka, sekaligus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai antara destinasi pilihan utama,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah proaktif dengan melanjutkan Tahun Melawat Melaka sehingga 2026, selari dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


