Sorting by

×

PELBAGAI INISIATIF UNTUK BELIA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Kerajaan Negeri terus menggandakan usaha memperkasa generasi muda menerusi pelbagai inisiatif dirangka, khusus bagi pembangunan belia dalam aspek kediaman, keusahawanan dan pendidikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif berimpak tinggi ialah Skim Rumah Belia Melaka (RBM) yang membantu anak muda memiliki kediaman pertama.

“Setakat ini, sebanyak 1,754 unit rumah telah direalisasikan di bawah skim tersebut dan jumlah ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan asas belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta beberapa kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Pusat Sehenti Usahawan (OSCE) sebagai hab strategik Yang menghubungkan usahawan pelbagai generasi melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp dan TEKUN Nasional, bagi memperluas peluang keusahawanan belia.

“Selain itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka sebagai usaha memperhalusi hal ehwal pendidikan serta pelan intervensi yang bakal diangkat ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Ujarnya, setiap dasar dan projek baharu digubal Kerajaan Negeri menitikberatkan penyertaan anak muda sebagai pemacu utama masa depan negeri ini.

“Justeru, saya meminta pemimpin belia di Melaka untuk terus tampil memimpin komuniti masing-masing. Landasan telah disediakan, belia mesti berani menyahut ke hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post 3 SEKOLAH AGAMA DI JASIN TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER