
PELBAGAI PROGRAM MENARIK SEMPENA ULANG TAHUN MPJ KE-19
JASIN 2 Januari – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) merangka pelbagai program melibatkan komuniti setempat sempena sambutan ulang tahun ke-19 MPJ yang berlangsung sepanjang Januari hingga Februari 2026.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, antara program utama yang dirancang termasuklah pelaksanaan Kempen Pengurangan 80 peratus kompaun letak kereta.
Katanya, inisiatif pemberian kompaun terbabit boleh dilakukan oleh orang awam menjelaskan pelbagai tunggakan saman MPJ dengan kadar rendah sehingga minimum RM10.
“Turut diadakan Kempen Jom Bayar Cukai Terawal yang mana pembayar menerima manfaat seperti baucar diskaun Richiamo, Asahan Water Themepark, Melaka River Cruise dan pelbagai lagi.
“Antara lain yang MPJ laksanakan sempena Sambutan Ulang Tahun MPJ Ke-19 dengan mengadakan Kejohanan Catur bersama Kelab Catur Taming Sari termasuk penglibatan golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak bawah 10 dan 15 tahun di Dewan Alamanda pada 4 Januari.
“Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Tertutup akan diadakan pada 4 Januari di Stadium Jasin; 21 Januari akan diadakan Kempen Jom Derma Darah dengan kerjasama Tabung Darah Melaka di lobi Vista Alamanda; Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat akan diadakan pada 22 Januari di Masjid Al-Faizin, Bukit Tembakau,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pejabatnya di Vista Alamanda, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata program-program yang dilaksanakan bertujuan bagi menghargai pembayar cukai serta mengeratkan hubungan MPJ bersama masyarakat setempat.
“Kita harap orang ramai dan warga sekitar Jasin dapat memeriahkan pelbagai program yang direncanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


