
PELEPASAN KHAS CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU GALAK RAKYAT MELANCONG DALAM NEGARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat di sini hari ini berkata pelepasan itu diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
Beliau berkata pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan akan diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak yang dilakukan terhad hingga RM500,000.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat pengendali pelancongan pula diberikan pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
“Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.
“Syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun,” kata beliau ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat”.
Dalam menyediakan kemudahan pengangkutan, Anwar berkata insentif berbentuk pengecualian 100 peratus duti eksais dan pengecualian 100 peratus cukai jualan akan diteruskan ke atas pembelian kereta nasional baharu PROTON dan PERODUA oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.
Selain itu, beliau berkata HRD Corp menyediakan RM10 juta untuk menanggung kos kursus dan elaun kepada pemandu teksi berlesen yang bercarum menjalani latihan peningkatan kapasiti bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi.
“Tahun hadapan tentunya istimewa, kerana kita menyambut dunia untuk berkunjung ke Malaysia menghayati keindahan alam yang mempesona, menyelami kerencaman budaya yang tiada tara, merasai aneka juadah memikat selera, sambil disantuni layanan mesra rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.