
PEMANDU LORI MAUT DALAM KEMALANGAN DI LEBUH RAYA PLUS ARAH SELATAN
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada 6.10 pagi itu membabitkan sebuah lori rigid jenis Hino dipandu lelaki berumur 56 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori rigid dipercayai mengekori rapat kenderaan di hadapan dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori yang membawa muatan gas.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori rigid mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori gas berusia 54 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.
Sementara itu, di Kuala Pilah seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Kuala Pilah-Tampin pada 8.30 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Muhamad Mustafah Hussin berkata siasatan awal mendapati lori tangki membawa muatan simen itu dari arah Kuala Pilah menghala ke Tampin.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran.
“Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.