Sorting by

×

PEMBENIHAN AWAN DI MELAKA DALAM MASA TERDEKAT – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

ASAHAN 8 April – Melaka dijangka melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat sebagai langkah proaktif meningkatkan kadar hujan bagi memastikan kestabilan bekalan air mentah negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, permohonan bagi pelaksanaan operasi itu melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah diluluskan.

Menurutnya, ketika ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang menilai kesesuaian keadaan atmosfera bagi memastikan pelaksanaan pembenihan awan yang berkesan.

“Jika semua faktor seperti cuaca, angin dan keadaan geografi mengizinkan, pembenihan awan dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Loji Empangan Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Mohd Saleh Jusman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata langkah itu merupakan antara usaha awal Kerajaan Negeri dalam memastikan rizab air mentah terus mencukupi, khususnya ketika Melaka berdepan cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Selain pembenihan awan kita turut mengaktifkan semula kolam alternatif serta sumber simpanan air tambahan bagi memperkukuh kapasiti bekalan sedia ada.

“Dalam masa sama, kempen kesedaran penjimatan air turut dipertingkatkan dan pemantauan rapi dilaksanakan terhadap kawasan tadahan air yang terjejas akibat cuaca kering,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan pelaksanaan catuan air sekiranya keadaan menjadi kritikal, bergantung kepada paras semasa sumber air dan tahap penggunaan rakyat.

“Kita tidak boleh memberi jaminan tiada catuan kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca dan sikap pengguna. Jika paras air memerlukan catuan dilaksanakan, kita akan lakukan demi memastikan bekalan air dapat bertahan lebih lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Melaka agar menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran bagi memastikan bekalan sedia ada dapat dikekalkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post WRUR ASAHAN: DOA KETUA MENTERI BERI SEMANGAT BILAL LAWAN KANSER DARAH TAHAP 4
Next post DR AKMAL KEKAL EXCO MELAKA, PELETAKAN JAWATAN DITOLAK – AB RAUF