Sorting by

×

PEMBUDAYAAN PATRIOTISME DALAM KALANGAN PENJAWAT AWAM PERLU DIPERTINGKATKAN

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

Oleh: Dr. Nur Aishah Zainal
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Pengajian Tinggi
Kolej Komuniti Jasin Melaka

KUMPULAN penjawat awam menjadi tonggak penting terhadap sistem pentadbiran dan pemerintahan negara. Pelbagai peranan yang dimainkan oleh penjawat awam membantu pihak kerajaan dalam melaksanakan dasar negara yang digariskan di samping memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat secara holistik.

Tidak dapat dinafikan kumpulan penjawat awam menjadi aset terpenting negara dalam membantu pihak kerajaan untuk tadbir urus negara dengan lebih baik.

Walaupun menjalankan amanah dengan berkhidmat untuk kerajaan, pada masa yang sama penjawat awam mestilah mempunyai nilai patriotisme dalam diri mereka.

Asas nilai murni dan jati diri yang kukuh perlu wujud dalam diri seseorang penjawat awam. Melalui asas nilai sebegini, semangat rasa cintakan tanah air yang merangkumi kesetiaan, keikhlasan dan rela berkorban demi kepentingan negara dapat diterjemahkan melalui komitmen terhadap tugasan di sesebuah organisasi kementerian.

Rentetan kepada penulisan buku karya Muhammad Ali Embi (2009), kecintaan terhadap negara bukan sekadar ungkapan di bibir semata-mata atau bersifat simbolik sekadar mengibarkan jalur gemilang atau menghormati pemimpin, namun dapat diterjemahkan melalui pelbagai cara.

Pembahagian konsep patriotisme menerusi pelbagai aspek iaitu Iconocalstic Patriotism, Symbolic Patriotism, Capitalistic Patriotism, Instinctive Environmental Patriotism dan Nationalistic Symbolic Patriotism dapat diinspirasikan bagi menyuburkan semangat patriotik dalam erti kata ringkas dan mudah untuk difahami.

Bagi penjawat awam, semangat patriotisme menjadi elemen yang penting untuk berganding bahu dengan pihak kerajaan agar setanding dan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara luar, seterusnya membuktikan Malaysia juga mampu mencapai kadar patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.
Berdasarkan kepada statistik Most Patriotic Countries 2025, United States mendahului negara lain dengan mengungguli kedudukan negara paling patriotik di peringkat antarabangsa dan menewaskan tahap patriotisme negara lain dengan kadar 41 peratus.

Berdasarkan statistik ini, Malaysia tidak terkecuali tersenarai di antara negara paling patriotik menerusi kedudukan di tangga kesepuluh dengan kadar 11 peratus rakyatnya yang mencintai tanah air sendiri.

Walaupun agak sukar untuk mencapai peratusan kedudukan yang tinggi dalam statistik negara paling patriotik di peringkat dunia, namun rakyat Malaysia khususnya penjawat awam boleh menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan penyuburan semangat patriotisme sentiasa berterusan.

Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 yang menggariskan pembudayaan amalan patriotisme dan taat setia penjawat awam haruslah diberi penekanan bagi menyuburkan dan sekali gus membentuk penjawat awam yang berjiwa patriotik, setia kepada negara dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara.

Elemen pembudayaan patriotisme dalam kalangan penjawat awam tidak boleh diperlekeh dan dipandang ringan. Penglibatan penjawat awam yang dinamik terhadap aspek patriotisme perlu diberi perhatian sewajarnya dalam usaha meningkatkan mutu pencapaian perkhidmatan kepada masyarakat secara amnya.

Bagi merangka strategi dan melaksanakan langkah proaktif untuk memperkasakan perkhidmatan penjawat awam, amalan pembudayaan semangat patriotisme di semua organisasi kementerian wajar dipertingkatkan dari segenap sudut agar mereka bukan sekadar bekerja untuk hari ini, malah terus berbakti kepada masyarakat secara berterusan demi masa hadapan negara Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post MBMB WAJIBKAN PREMIS KIBAR JALUR GEMILANG
Next post PDK SERI EMAS DIBUKA, MELAKA KINI MILIKI 18 PUSAT PEMULIHAN OKU