Sorting by

×

PEMILIK HOTEL TULAR TAMPIL BERI PENJELASAN, NAFI AKTIVITI SONGSANG

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 Januari – Pemilik sebuah hotel sebelum ini tular di media sosial kerana mengiklankan fasilitinya sebagai ‘gay friendly’ tampil bagi memberikan penjelasan kepada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan, hari ini.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, perjumpaan turut melibatkan wakil Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, siasatan awal telah dijalankan oleh MPHTJ bersama JAIM dan PDRM pada 13 Januari lalu susulan tular hantaran berkaitan hotel tersebut di media sosial.

“Semasa operasi dijalankan, hotel berkenaan didapati kosong dan tidak berpenghuni. Tiada sebarang kenyataan atau bukti yang boleh mengaitkan hotel tersebut dengan isu yang ditularkan.

“Pemilik juga tidak berada di lokasi ketika itu dan pihak MPHTJ telah mengambil lesen hotel berkenaan untuk dibawa ke pejabat sementara menunggu penjelasan lanjut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 di Pentas Utama Kompleks Melaka Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron serta warga MPHTJ.

Zulkiflee berkata, sebelum ini pemilik hotel berkenaan memberikan penjelasan awal bahawa tiada sebarang aktiviti seperti yang didakwa dijalankan di premis tersebut.

“Namun pihak berkuasa tetap perlu membuat semakan terperinci bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran syarat lesen atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.

“Sehingga satu keputusan dibuat, hotel berkenaan masih tidak dibenarkan beroperasi dan lesen masih ditahan oleh MPHTJ. Kita tidak mahu ada perniagaan yang berselindung di sebalik lesen sah tetapi menjalankan aktiviti yang menyalahi peraturan.

“Sebab itu semakan bukan sahaja dibuat ke atas hotel ini, malah pemantauan berterusan turut dijalankan di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan lain bagi mengelakkan situasi sama berulang,” katanya.

Terdahulu, sebuah hotel di sini tular selepas mengiklankan fasilitinya sebagai ‘gay friendly’ sebelum dikosongkan susulan operasi penguatkuasaan bersepadu oleh JAIM dan MPHTJ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post LPM BERI SOKONGAN SOSIAL UNTUK PENDIDIKAN ANAK MELAKA
Next post AB RAUF HORMATI KEPUTUSAN DR. AKMAL, PERTIMBANG TERIMA ATAU TOLAK PELETAKAN JAWATAN