
PEMUDA MAUT, RAKAN CEDERA MOTOSIKAL TERBABAS MASUK LONGKANG
SUNGAI UDANG 7 Oktober – Penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera selepas terbabit nahas di Jalan Sungai Udang-Tangga Batu, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Muhammad Azli Syah Mohd Sobri, 20 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakan serumahnya, Muhammad Shafiq Sahadan, 26, yang membonceng motosikal mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya yang menaiki motosikal jenis Honda RSX sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Tangga Batu.
Katanya, ketika di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Ford Econovan yang dipandu lelaki warga emas sedang memperlahankan kenderaan untuk membelok ke kiri menuju ke Medan Niaga Sungai Udang dan motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah memotong dari sisi sebelah kiri, namun terbabas masuk ke dalam longkang.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pembonceng motosikal yang cedera di kaki dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Christopher berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi kejadian.
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.