Sorting by

×

PENCAWANG TELEKOMUNIKASI BERHAMPIRAN RUMAH TIDAK MENDATANGKAN RISIKO KESIHATAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 10 Januari – Agensi Nuklear Malaysia menegaskan pembinaan pencawang telekomunikasi berhampiran kawasan kediaman penduduk tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada penduduk.

Penolong Jurutera Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran, Unit Sinaran Tidak Mengion (NIR) Agensi Nuklear Malaysia, Nur Afrina Zainal berkata, radiasi yang dihasilkan oleh mana-mana pencawang telekomunikasi adalah terkawal.

Katanya, pembinaan pencawang telekomunikasi di Malaysia mematuhi garis panduan keselamatan antarabangsa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Perlindungan Radiasi Bukan Mengion (ICNIRP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Radiasi tidak dipancarkan daripada kaki menara dan kebanyakan pencawang telekomunikasi ini adalah pencawang tiga kali (three legged) yang mana pancaran signal hanya datang daripada antena yang terletak di bahagian atas pencawang.

“Sekiranya kediaman berada berhampiran struktur menara, itu tidak menyebabkan pendedahan radiasi secara langsung seperti yang sering disalah fahami oleh masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial serta mendapatkan fakta daripada sumber berautoriti bagi mengelakkan kebimbangan tidak berasas,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada ujian radiasi struktur telekomunikasi di Taman Batang Melaka Baru, di sini.

Mengulas lanjut, Nur Afrina berkata orang ramai diminta memahami bahawa radiasi bukan hanya terhasil daripada menara telekomunikasi, sebaliknya turut wujud dalam kehidupan seharian.

“Ramai tidak menyedari bahawa peralatan harian yang digunakan seperti telefon bimbit, ketuhar gelombang mikro, televisyen serta peralatan elektrik juga antara yang menghasilkan radiasi pada tahap tertentu.

“Cahaya matahari turut menghasilkan radiasi pada tahap tertentu dan yang penting adalah paras radiasi itu berada dalam had yang selamat di mana untuk pencawang telekomunikasi, ia dipantau ketat oleh MCMC dan berpandukan piawaian antarabangsa,” katanya.

Justeru, beliau berharap penerangan mengenai radiasi itu dapat meredakan kebimbangan penduduk serta memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai isu radiasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post HOSPITAL MELAKA CARI WARIS MENDIANG THAMILSELVAN
Next post PANTAI PERANGINAN ALOR GAJAH JADI TUMPUAN