Sorting by

×

PENDAPATAN PENIAGA MENINGKAT 50 PERATUS, TEMPIAS ‘POCKET EVENT’ MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 6 Januari – Inisiatif penganjuran pelbagai ‘pocket event’ oleh Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) di perkarangan Menara Taming Sari sempena cuti persekolahan membantu memberi limpahan ekonomi ketara apabila jualan peniaga sekitar meningkat hampir 50 peratus.

Peningkatan itu jelas dirasai peniaga makanan, minuman dan kraftangan menyifatkan penganjuran program berskala kecil tetapi konsisten mampu menggamit pengunjung tempatan dan pelancong luar ke kawasan tumpuan pelancongan itu.

Peniaga kraftangan, Wan Mohd Zamri Wan Yusof, 53, berkata jumlah pelanggan singgah ke gerainya meningkat mendadak terutama pada hujung minggu dan waktu malam apabila pelbagai program sampingan dianjurkan, termasuk persembahan kebudayaan, jualan usahawan kecil serta aktiviti kekeluargaan.

Katanya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menarik pengunjung menaiki Menara Taming Sari, malah menggalakkan mereka meluangkan masa lebih lama di sekitar.

“Biasanya jualan sederhana sahaja, namun sepanjang cuti persekolahan ini hasil jualan meningkat dengan ketara, ditambah pula dengan pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Program Melaka Bila Larut Malam 3.0.

“Secara keseluruhan, hasil jualan meningkat hampir separuh berbanding hari biasa. Saya berharap MTSB akan terus menganjurkan pocket event sepanjang tahun 2026,” katanya yang telah menjalankan perniagaan di kawasan itu hampir 10 tahun.

Sementara itu, penganjuran pocket event hasil inisiatif MTSB turut dilihat sebagai pendekatan berkesan dalam merancakkan suasana pelancongan tanpa memerlukan kos tinggi, sekali gus memberi manfaat langsung kepada peniaga makanan dan minuman sekitar menara ikonik berkenaan.

6255619544961453060

KAMARUL Nizam.

Bagi peniaga makanan, Kamarul Nizam Roshdi, 35, usaha berterusan MTSB menganjurkan pelbagai aktiviti sampingan memberi kesan positif kepada peniaga kecil.

Jelasnya, nilai jualan melonjak hampir 50 peratus sepanjang cuti persekolahan berikutan kemeriahan kawasan itu yang bukan sahaja meningkatkan aliran pengunjung, malah mendorong mereka berbelanja lebih apabila memilih untuk berada lebih lama di lokasi berkenaan.

“Sepanjang cuti persekolahan ini, pendekatan penganjuran pelbagai program sekitar Menara Taming Sari sememangnya memberi manfaat kepada kami.

“Pada saya, usaha dan inisiatif MTSB merancakkan aktiviti sampingan mampu memberi impak besar kepada hasil jualan peniaga, khususnya ketika musim cuti persekolahan dan cuti umum,” katanya yang telah berniaga di situ lebih lima tahun.

Peningkatan jualan tersebut sekali gus membuktikan bahawa penganjuran aktiviti sokongan di kawasan tumpuan pelancong berupaya membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan sederhana, selain merancakkan ekonomi setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post SKETSA RETRO, LAYAR HITAM PUTIH JADI TARIKAN MALAM DI MALAYSIA HERITAGE STUDIOS
Next post GUNTING RAMBUT PERCUMA UNTUK ANAK-ANAK TABOH NANING