Sorting by

×

PENDIKA, 3 NGO KONGSI REZEKI BUBUR LAMBUK ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BUKIT KATIL 23 Februari – Bersempena Ramadan tahun ini, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) bakal menganjurkan program agihan bubur lambuk khusus untuk warga Melaka pada esok (24 Februari 2026), menggabungkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Program akan diadakan di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, di sini dan dijangka dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam selepas solat Asar berjemaah bersama sukarelawan.

Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat berkata, penganjuran program itu turut mendapat sokongan penuh daripada tiga lagi NGO iaitu World Youth Foundation (WYF), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD Malaysia) dan Pertubuhan Tenaga Gig Melaka (Tenaga Gig).

Menurutnya, program yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu adalah sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan, kesukarelawanan serta keharmonian masyarakat setempat khususnya dalam mengimarahkan amalan berkongsi rezeki bersempena bulan yang penuh keberkatan.

“Apa yang menarik adalah kesudian WYF di bawah teraju Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang sentiasa aktif dalam memacu pemerkasaan belia di peringkat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi ruang untuk belia turut sama menyumbang tenaga sebagai sukarelawan seterusnya mendedahkan mereka kepada skil sosial dan kepimpinan dalam masyarakat.

“Perkongsian penganjuran ini juga unik berikutan penglibatan dua rakan NGO yang fokus kepada ekonomi gig iaitu LEAD Malaysia dan Tenaga Gig Melaka yang akan melihat penglibatan sukarelawan di kalangan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 10 periuk bubur lambuk akan dimasak secara bergotong-royong diketuai Mohd Ridhwan sendiri bersama hampir 100 sukarelawan bermula jam 8 pagi esok, sebelum diagihkan kepada kira-kira 2,500 penduduk Melaka termasuk petugas media, pemandu e-hailing, penghantar p-hailing selepas solat Asar hari yang sama.

Beliau berkata, antara sukarelawan terlibat adalah jawatankuasa Masjid Sayyidina Ali, Jabatan Penerangan Negeri Melaka, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka, Kolej Komuniti Jasin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Syarikat terkemuka di negara ini turut akan menjayakan program berkongsi rezeki ini iaitu Grab Malaysia, Foodpanda Malaysia, Mamee, Nasi Beriani Haji Tamby dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Melaka.

“Kami juga ingin mempelawa mana-mana NGO atau kelab sukan syarikat korporat di Melaka untuk turut sama-sama menjayakan gotong royong ini dengan mengisi borang sukarelawan di pautan https://forms.gle/sjoaf1kPCi8bz87k6,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post MESRA: RAKYAT DIDAHULUKAN, KEMAKMURAN DIPERTAHAN
Next post TRAFIK LEBIH LANCAR DI BAZAR KLEBANG TAHUN INI