
PENDUDUK ASAHAN NIKMATI PELBAGAI LIMPAHAN NIKMAT DALAM 3 TAHUN
ASAHAN 4 April – Dalam tempoh tiga tahun ini, penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan telah mendapat pelbagai nikmat pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat hasil daripada pentadbiran yang baik oleh Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kawasan tersebut.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus menggambarkan kepimpunan di bawah payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang digagaskan Kerajaan Negeri membawa limpahan manfaat secara menyeluruh di seluruh pelusuk negeri, baik di kawasan bandar atau luar bandar.
Ujar beliau, antara pencapaian utama di DUN Asahan adalah pembinaan Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 bernilai RM11 juta yang dijangka mula beroperasi Mei ini, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 25,000 penduduk di kawasan berkenaan.
“Selain itu, golongan belia dan anak muda juga turut menerima nikmat apabila lebih RM9 juta diperuntuk untuk membangunkan kemudahan pendidikan dan belia.
“Tidak hanya itu ‘YB Along’ (Datuk Fairul Nizam Roslan) dan pemimpin masyarakat di sini
juga sedaya upaya penuhi permintaan rakyat untuk menambah baik jalan, pembentung dan longkang melibatkan lebih RM6.32 juta ringgit.
“Paling utama, dalam usaha memastikan warga DUN Asahan selesa di dalam rumah, sebanyak 15 projek bina baharu rumah dan 91 projek baik pulih rumah telah dilaksanakan dengan peruntukan sekitar RM3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.
Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, selain pembangunan, agenda kesejahteraan rakyat turut dizahirkan di DUN Asahan apabila sejumlah hampir RM23.9 juta telah disalurkan untuk bantuan kebajikan kepada rakyat di DUN Asahan.
“Apapun, Kerajaan Negeri tidak datang bermusim, kita datang untuk menyelesaikan dan suara rakyat bukan sekadar didengar tetapi diterjemah kepada tindakan.
“Kita akan terus turun padang mendengar dan menyelesaikan kerana bagi Kerajaan Negeri Melaka keutamaan kita hanya satu, iaitu rakyat,” tegas beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


