Sorting by

×

PENDUDUK BERINGIN, BELIMBING BAKAL TERIMA TONG SAMPAH TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Mac – Hasrat penduduk di Kampung Beringin dan Kampung Belimbing untuk memiliki tong sampah sendiri dijangka direalisasikan tahun ini.

Perkara itu secara tidak langsung meningkatkan tahap kebersihan serta pengurusan sisa di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, kedua-dua kampung terbabit telah mengemukakan permohonan dan pihaknya kini dalam usaha menyelaras penyediaan kemudahan itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, langkah itu susulan kejayaan pelaksanaan penyediaan tong sampah di Kampung Gangsa yang mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk.

“Kita sasarkan tahun ini juga untuk realisasikan permohonan tong sampah bagi Kampung Beringin dan Kampung Belimbing. Surat permohonan sudah diterima dan kita akan usahakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, walaupun masih belum mengadakan pertemuan rasmi bersama penduduk kedua-dua kampung tersebut, usaha ke arah penyediaan kemudahan itu tetap menjadi keutamaan.

“Di Kampung Gangsa, pelaksanaan hampir selesai dan hanya berbaki sedikit sahaja. Biasalah di kampung, ada yang pada awalnya tidak mahu, tetapi selepas melihat manfaat, mereka mula menyokong,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kampung Beringin dianggarkan mempunyai kira-kira 100 buah rumah, manakala Kampung Belimbing melibatkan lebih 3,000 penduduk.

“Penyediaan tong sampah secara menyeluruh di setiap kampung merupakan antara sasaran jangka panjang bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan sistematik.

“Saya bukan hanya sasarkan dua kampung ini sahaja, tetapi mahu setiap kampung di kawasan Durian Tunggal memohon supaya kemudahan tong sampah dapat disediakan secara berperingkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

753
Kongsi :
Previous post SEORANG WANITA MAUT, DUA PEMANDU CEDERA DALAM KEMALANGAN DI MIRI