Sorting by

×

PENDUDUK BERSYUKUR DILEMA BANJIR 25 TAHUN BAKAL SELESAI

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 20 Februari – Masalah banjir yang diwarisi sejak 25 tahun lalu di Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya hampir menemui noktah apabila sebuah kolam takungan banjir bakal dibina tidak lama lagi.

Itu cerminan usaha berterusan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Datuk, Shamsudin Mohamad, 51, berkata, masalah banjir di kawasan itu berlaku hampir setiap tahun, di mana ia memberi kesan kepada lebih 200 buah rumah.

Justeru, menurut beliau, projek tersebut bukan sahaja memberi kelegaan kepada penduduk yang sering terjejas, bahkan ia juga melambangkan sebuah janji yang ditunaikan wakil rakyat dalam membantu masyarakat di kawasan ini.

“Ini merupakan usaha yang dibawa YB Datuk Rais sejak awal bergelar wakil rakyat dan akhirnya sebuah penyelesaian mitigasi banjir telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi membina kolam takungan banjir.

“Di bawah kepimpinan beliau (Datuk Rais) penduduk selepas ini boleh menarik nafas lega kerana limpahan manfaat itu dirasai, selain aspek penyelesaian masalah juga lebih mudah dan berkesan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shamsudin, selain kolam takungan banjir, terdapat dua lagi projek jangka panjang akan dilakukan di kawasan tersebut bagi mengatasi masalah banjir, antaranya menaik taraf atau melebarkan sungai di kawasan tersebut yang kini sedang menunggu peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran Karnival Demi Paya Rumput, beliau berkata, kira-kira 10,000 penduduk di bawah JPKK Bukit Datuk amat gembira dan teruja kerana pelbagai program yang membawa manfaat kepada masyarakat dibawa sepanjang lapan hari penganjurannya.

“Penduduk memang amat ternanti-nanti program seperti ini kerana ia bukan sahaja membawa limpahan manfaat, bahkan pada masa sama mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post WISMA MELAKA ‘NADI’ KEBAJIKAN MAHASISWA DI MESIR
Next post DEWAN HANG TUAH BERWAJAH BAHARU, LOKASI IDEAL PELBAGAI MAJLIS