Sorting by

×

PENDUDUK KAMPUNG TAMPOI BERSYUKUR SRA JAIM JADI REALITI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 23 Februari – Penantian sekian lama penduduk Kampung Tampoi untuk memiliki sebuah sekolah rendah agama (SRA) akhirnya menjadi kenyataan apabila pembinaan Sekolah Rendah Agama Kampung Tampoi, dalam proses pembinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tampoi Abd Halim Abd Hamid berkata, pembinaan sekolah itu antara yang diusahakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin demi kesejahteraan penduduk setempat.

Menurutnya, rata-rata penduduk melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang diperjuangkan sejak bertahun lalu itu akhirnya bakal direalisasikan, ia sekali gus membolehkan anak-anak mereka mengikuti pengajian agama dengan lebih dekat dan selesa.

“Pembinaan sekolah ini bermula pada September 2024 dan dijadualkan akan siap pada September depan, oleh itu kita jangka sesi persekolahan dapat dimulakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

“Bangunan dua tingkat ini yang mempunyai enam kelas serta dewan dijangka dapat menampung kira-kira 100 orang murid pada sesi persekolahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan ibu bapa terpaksa menghantar anak ke sekolah agama di kawasan lain seperti Krubong dan Cheng yang terletak agak jauh dari kampung berkenaan.

“Mewakili penduduk, saya berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah dan akademik anak-anak Kampung Tampoi,” katanya.

Sementara itu Abd Halim berkata, manifesto yang dibawa Adun Paya Rumput bukan hanya sekadar janji sebaliknya dibuktikan menerusi usaha berterusan apabila menggerakkan usaha pembinaan Masjid As Salam Kampung Tampoi yang baharu.

“Kariah di bawah JPKK Tampoi agak besar iaitu merangkumi Kampung Tampoi, Taman Seri Krubong dan separuh Krubong Jaya dengan anggaran penduduk beragama Islam kira-kira 5,000 orang ini menyebabkan masjid sedia ada tidak mampu menampung jemaah khususnya untuk Solat Jumaat.

“Justeru itu, kami penduduk amat berharap pembinaan masjid ini yang akan mempunyai kompleks termasuk dewan dengan kos dianggarkan RM10 juta dapat direalisasikan.

“Kami masih berusaha mendapatkan peruntukan bagi pembinaan ini selain berharap sumbangan daripada pihak individu atau persendirian untuk menyumbang agar ia dapat dilaksanakan segera,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU KAK PAH PEMBUKA SELERA BERBUKA PUASA
Next post 7 BAZAR AIDILFITRI BEROPERASI SELURUH MELAKA