
PENDUDUK KRUBONG BERSYUKUR MASALAH TANAH KUBUR ‘KRITIKAL’ KINI SELESAI
PAYA RUMPUT 21 Februari – Penduduk Krubong bakal menikmati kemudahan tanah perkuburan Islam baharu selepas sebuah tapak diluluskan dan diserahkan pada 15 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Krubong Tengah Zamri Mat Sit berkata, keperluan terhadap tanah perkuburan baharu amat mendesak berikutan tapak sedia ada telah mencapai tahap maksima dan tidak lagi mampu menampung jumlah pengebumian.
Menurutnya, kawasan di bawah pentadbiran JPKK Krubong Tengah merangkumi lima Kawasan Rukun Tetangga (KRT), empat surau dan sebuah masjid termasuk Krubong Jaya Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3, Kampung Ladang serta Kampung Krubong.
“Jika mengikut jumlah pengundi sahaja, penduduk di Krubong mencecah kira-kira 11,800 orang. Semua kawasan seperti Krubong Jaya dan Krubong Indah menggunakan tanah perkuburan yang sama sebelum ini.
“Keadaan itu menyebabkan tanah perkuburan sedia ada menjadi semakin kritikal dan tiada lagi ruang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zamri turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin atas usaha membantu merealisasikan keperluan tersebut.
“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan penduduk serta usaha pelbagai pihak, kita akhirnya berjaya memperoleh satu tapak tanah perkuburan Islam baharu dan penyerahan rasmi telah dibuat pada 15 Februari.
“Penyediaan tapak baru ini memberi kelegaan kepada penduduk setempat selain memastikan urusan pengebumian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur pada masa akan datang.
“Syukur Alhamdulillah kerana pelbagai kemudahan lain turut berjaya dibawa di Krubong termasuk pembinaan padang bola baru serta penambahbaikan kemudahan sekolah demi manfaat penduduk, khususnya anak jati kampung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

