
PENDUDUK LEGA, LONGKANG MONSUN MBMB BERKESAN ATASI BANJIR
DUYONG 22 September – Longkang monsun sepanjang 330 meter sudah siap dibina memberikan kelegaan kepada 1,000 penduduk di Taman Desa Duyong yang dibelenggu bencana banjir berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Longkang monsun bersaiz 3.6 meter x 1.5 meter itu dibina bagi memastikan kelancaran sistem perparitan, selain menampung jumlah air yang lebih tinggi jika berlaku hujan lebat luar biasa.
Projek naik taraf longkang monsun itu dilaksanakan dalam tempoh kira-kira setahun bermula Mei 2024 dan siap Ogos lalu membabitkan kos RM1.8 juta yang diperuntukkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Penduduk Taman Desa Duyong, Azman Abas, 63, berkata, pembinaan longkang monsun itu dianggap sebagai ‘hadiah’ buat penghuni di penempatan itu.
“Taman kami adalah antara lokasi kerap dilanca banjir, bencana paling buruk direkodkan pada 2010, semuanya berpunca daripada sistem perparitan yang kurang sempurna.
“Alhamdulillah, kemudahan baharu ini amat melegakan kami, sudah boleh menarik nafas lega. Inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam mencari penyelesaian untuk keselesaan penduduk setempat amat dihargai,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Duyong, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Duyong, Ismail Jabbar, berkata pelaksanaan projek berkenaan tertangguh agak lama, menyebabkan penduduk berada dalam keresahan setiap kali berlaku hujan lebat.
Ismail berkata, kemudahan baharu itu adalah bagi menggantikan longkang jenis B yang kurang efektif dan tidak mampu menampung kapasiti air yang tinggi jika berlaku hujan lebat berterusan bagi tempoh lama.
“Stuktur longkang menggunakan rekaan lebih moden menjadikannya lebih teratur, ia turut memberikan kesan positif kerana persekitaran taman kami sekarang kelihatan bersih dan ceria,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBMB bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Abd Razak Abu berkata, projek itu sepatutnya sudah dilaksanakan lebih awal namun beberapa kali terbantut akibat beberapa kekangan.
“Malah kita terpaksa mengadakan sesi dialog bersama penduduk sebanyak dua kali, alhamdulillah akhirnya semuanya terlaksana dengan lancar.
“Boleh katakan taman ini adalah lokasi paling awal akan dinaiki air apabila hujan lebat, dengan siapnya longkang monsun kita harap masalah banjir di kawasan Taman Desa Duyong dapat ditangani,” katanya.
Jelasnya, dengan adanya longkang monsun ini diharap penduduk di kawasan perumahan itu tidak ambil mudah dengan menjadikan longkang lokasi tempat pembuangan sampah yang akhirnya mengakibatkan sistem pengairan bermasalah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.