Sorting by

×

PENDUDUK PUJI ‘DATUK RAIS’ MUDAH DIHUBUNGI, CEPAT BERI MAKLUM BALAS

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Sikap mesra rakyat dan mudah didekati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin, terus mendapat pujian penduduk setempat apabila beliau turun padang mendengar aduan rakyat secara bersemuka.

Keperibadian itu diterjemahkan menerusi penganjuran Hari Aduan Rakyat sempena Karnival Demi Paya Rumput di Dewan MBMB Taman Paya Rumput Perdana, di sini, pada Jumaat.

Seorang penduduk Taman Krubong Perdana, Chong Woei Seng, 31, berkata dia hadir untuk mengadu masalah jiran yang memelihara anjing sehingga menyebabkan bau busuk dan bunyi bising pada waktu malam.

“Sebelum ini ada berbelas ekor, kemudian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah ambil tindakan dan kini tinggal tiga ekor, tetapi masih mengganggu penduduk.

“Datuk Rais janji akan cuba bantu selesaikan isu ini, jadi bila ada program macam ni memang bagus sebab boleh jumpa beliau depan-depan, beliau seorang pemimpin yang sangat responsif,” katanya.

Sementara itu, Anuar Buang, 62, dari Taman Paya Rumput Indah berkata, pendekatan turun padang wakil rakyat itu memudahkan penduduk mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat secara terus tanpa perlu ke pejabat agensi berkaitan.

“Saya sudah buat aduan awal tentang pertukaran status hak milik rumah, cuma tiada masa ke pejabat tanah di Ayer Keroh. Bila ada program begini, semua agensi ada jadi senang macam ‘one stop centre’ untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, S. Tamilselvam, 63, dari Taman Paya Rumput Perdana berkata, Datuk Rais juga mudah memberi sokongan terhadap usaha penduduk untuk meningkatkan keselamatan kawasan.

“Kami mohon sedikit tanah untuk bina pondok pengawal baharu dengan gerbang masuk. Permohonan masih dalam proses dan Datuk Rais sudah beri sokongan.

“Program begini memang wajar diadakan selalu sebab memudahkan rakyat dan wakil rakyat pun senang ditemui,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

756
Kongsi :
Previous post PENDUDUK SYUKUR JALAN BAHARU PERMUDAH AKSES HARIAN
Next post OP TBC, JABATAN KESIHATAN NEGERI SITA 237 PRODUK MAKANAN