
PENDUDUK SAMBUT BAIK INISIATIF KUBUR DIGITAL
PAYA RUMPUT 16 Februari – Penduduk Kampung Krubong menyambut baik inisiatif kubur digital yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi memudahkan pengesanan kubur oleh waris.
Kampung Krubong bakal menjadi lokasi pertama di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang melaksanakan inisiatif berkenaan hasil kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Pelaksanaan sistem kubur digital itu bakal memudahkan urusan pengurusan dan carian maklumat plot tanah kubur di tanah perkuburan tradisional sedia ada.
Penduduk kampung yang juga penggali kubur Rosli Mat Sit, 52, berkata, pendigitalan plot kubur itu ia bukan sahaja memudahkan ahli keluarga untuk mengetahui kedudukan pusara ahli keluarga, bahkan turut memudahkan tugas penggali kubur apabila adanya kes kematian.
“Apabila setiap kubur ini mempunyai nombor jadi senang untuk ahli keluarga datang ziarah selain kami penggali kubur juga mudah untuk melakukan kerja-kerja penggalian apabila ada kematian.
“Dengan kedudukan plot kubur lama yang tidak tersusun menyebabkan ada ahli keluarga yang tidak dapat mengesan kedudukan pusara keluarga. Ada masanya saya sendiri lupa apabila ada ahli keluarga yang bertanya.
“Jadi menerusi inisiatif kubur digital semuanya menjadi mudah dan mewakili penduduk di sini saya amat berbesar hati selain amat berterima kasih dengan komitmen ditunjukkan pemimpin negeri,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kubur Dan Kubur Digital Sempena Karnival Demi Paya Rumput di Kampung Krubong, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan turut hadir Pengarah PLANMalaysia Negeri Melaka TPr. Abdulhan Abd Lamit.
Sementara itu, penduduk kampung bersebelahan Noor Ariffin Mohamed, 61, berkata, dengan adanya sistem kubur digital itu, ia bakal memudahkan generasi muda mengenal pasti kubur nenek moyang serta ahli keluarga yang lain.
“Tidak dinafikan ada yang memberi alasan tidak tahu atau kenal kubur untuk ziarah malah ada kubur lama yang tidak diketahui ahli keluarga.
“Jadi apabila adanya sistem ini ia bukan sahaja membantu mengetahui kedudukan plot kubur malah data-data atau maklumat dapat dikumpul dan disimpan sebagai rujukan untuk masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Badau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Adun Paya Rumput yang berjaya merealisasikan tapak tanah perkuburan baharu untuk umat Islam di sekitar Krubong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


