
PENEMUAN RANGKA KAPAL BUKA LEMBARAN SEJARAH BAHARU MELAKA – KM
TANJUNG BIDARA 1 November – Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha membawa keluar rangka kapal yang dipercayai dari abad ke-13 yang ditemui menerusi proses ekskavasi di kawasan Pulau Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penemuan itu disifatkan bakal membuka satu lembaran baharu kepada kisah sejarah Kerajaan Melaka terdahulu.
Bagaimanapun, ujar beliau, penemuan tersebut perlu dikaji secara mendalam dan disahkan terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar mempunyai nilai sejarah yang amat besar kepada Melaka.
“Buat masa ini, pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) masih berusaha meneroka kawasan itu untuk mendapat gambaran sebenarnya.
“Kita masih menunggu serpihan dan artifak ini dibawa keluar dan dikenal pasti menerusi kajian hasil teknologi-teknologi baharu yang ada sekarang.
“Usaha ini perlu dilakukan untuk mendapat gambaran sebenar. Namun, saya difahamkan ia mungkin sebuah kapal dipercayai Mendam Berahi yang tenggelam sewaktu serangan penjajah dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pra Perkahwinan Negeri Melaka Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Mohd Zohaime Mohd Sore; Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah Nurul Amirah Mohd Yusof serta kenamaan lain.
Menurut Ab Rauf, beliau akan mengadakan lawatan ke tapak ekskavasi tersebut pada minggu hadapan.
Jelas beliau, lawatan itu bertujuan untuk memastikan bahawa penemuan itu merupakan nilai sejarah yang amat besar kepada Melaka dan juga Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


